Sinopsis Mat Rukun

Mengisahkan Roslan dan Khatijah yang risau kerana walaupun sudah 21 tahun, perangai manja Mamat masih tidak berubah. Mamat juga suka menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah bersama rakan-rakannya. Kerana buntu, Roslan dan Khatijah bertanya pada rakan-rakan mereka. Ramailah memberikan pelbagai cara dan kaedah sehinggakan ada juga yang tidak masuk akal sehinggalah ada seorang rakan mereka mencadangkan supaya Mamat berumah tangga. Mungkin dengan berumah tangga perangai Mamat akan lebih matang dan bertanggunjawab.

Sudah tentu Mamat tidak bersetuju, dia merasakan dirinya masih terlalu muda untuk berumah tangga dan belum puas untuk menikmati hidupnya. Tetapi setelah didesak Mamat akhirnya setuju tetapi bersyarat. Mamat ingin Roslan dan Khatijah mencari seorang gadis Kedah yang kulitnya cantik, ayu seperti gadis gunung,. Roslan dan Khatijah bersetuju kerana mereka juga suka sekiranya dapat bermenantukan gadis kampung. Sekali lagi dengan bantuan rakan-rakan, mereka mencari gadis seperti yang diminta oleh Mamat. Seorang rakan mereka berkongsi gambar seorang gadis yang tiggal di sebuah kampung yang terletak di kaki Gunung Jerai, Kedah. Roslan dan Khatijah berkenan dengan keayuan wajah gadis tersebut dan terus membuat keputusan untuk merisik gadis tersebut.

Pada mulanya Mamat tidak mengendahkan siapakah gadis pilihan ibu bapanya. Tetapi apabila terlihat gambar gadis tersebut, dia tidak menyangka hatinya tertarik. Mamat pula meminta izin Roslan dan Khatijah untuk ke kampung Ayu, tunangnya itu. Mamat memberi alasan mengenali Ayu. Ayu juga walaupun tidak mengenali Mamat, menerima seadanya akan kekurangan Mamat. Tetapi untuk mengubah Mamat, Ayu telah menetapkan syarat. Mamat perlu mempelajari rukun-rukun yang penting sebagai seorang Islam dengan datuknya bagi membolehkan Mamat menjadi suami yang lebih baik. Mampukah Mamat mempelajari dengan baik kesemua rukun-rukun tersebut seterusnya menawan hati Ayu dan keluarganya?